Saturday, May 26, 2012

Mencerna idea untuk menulis

    Idea merupakan buah fikiran seseorang untuk diungkapkan ke dalam pelbagai bentuk seperti produk, pembangunan, promosi pemasaran, penterjemahan, penulisan dan banyak lagi. Idea merupakan perkara pokok atau asas yang mesti ada untuk seseorang meluahkan dalam pelbagai bentuk supaya ia dapat difahami oleh semua orang. Jika idea tidak dikembangkan atau divisualkan, idea yang berada di dalam minda seseorang tidak dapat digunapakai kerana idea tidak dapat dibaca secara halus. Idea seringkali dikaitkan dengan perkara-perkara ilmiah yang membolehkan seseorang itu dapat menunjukkan kemahiran berfikir secara kritis kerana cara pemikiran untuk mendapatkan idea tidak dimiliki oleh semua orang. Dalam konteks pembelajaran ilmiah, idea yang dikembangkan melalui saluran yang betul akan dapat diterima oleh sebagai suatu teori atau falsafah yang mana ia akan dikembangkan secara berperingkat.

    Penulisan yang baik seringkali dikaitkan dengan idea yang baik. Untuk menulis sesuatu perkara, idea merupakan sumber utama yang perlu diketengahkan kerana tanpa idea yang baik, sesuatu penulisan atau karya itu menjadi tidak menarik. Karya atau penulisan yang baik mestilah mempunyai pelbagai tema untuk mencuri perhatian audiens atau khalayak yang membacanya. Misalnya penulis novel atau penulis blog, idea yang diketengahkan oleh mereka melalui medium pembacaan adalah sangat bagus kerana mereka tahu apa yang pembaca mahukan.  Tema juga merupakan asas penting untuk pencambahan idea, misalnya penulis novel Barat iaitu J.K. Rowling yang menerbitkan karya Harry Potter. Beliau menggunakan tema fantasi yang sangat kreatif untuk menarik perhatian khalayak kerana pemilihan idea yang seperti ini memerlukan imaginasi yang tinggi supaya pembaca yang membaca karya mereka akan terbuai-buai di alam fantasi kerana membayangkan situasi yang seperti di dalam novel yang sememangnya tiada dalam alam realiti. Begitu juga dengan pemilihan tema seperti cinta. Lihat sahaja bagaimana Fauziah Ashaari memukau pembaca novel beliau iaitu Ombak Rindu yang mana temanya sarat dengan percintaan dan alunan emosi dan perasaan yang asyik. Begitu juga dengan penulis blog, mereka harus peka dengan keadaan sekeliling kerana penulis blog menjadikan isu semasa sebagai sandaran kepada intipati blog mereka. Jadi idea yang digunapakai oleh mereka memang sentiasa ada kerana mereka hanya perlu memberikan pendapat atau komen berhubung sesuatu isu. Jadi bagaimanakah caranya untuk seseorang itu mencerna idea untuk diungkapkan ke dalam bentuk tulisan yang baik?

    Terdapat banyak cara untuk mencerna atau menjana idea untuk menulis dengan baik. Terdapat beberapa langkah atau proses dalam menjana idea iaitu secara bebas, berfokus, percambahan fikiran, mencatat nota kecil, berimaginasi dan heuristik. Dalam mencerna idea untuk penulisan bebas, idea yang ditulis perlulah spontan. Apa sahaja yang terlintas di fikiran haruslah ditulis sebanyak yang boleh tanpa mengambilkira faktor tatabahasa. Ini kerana faktor tatabahasa akan menyebabkan idea yang dilontarkan secara spontan itu akan menjadi lambat. Dalam jenis penjanaan idea ini seseorang itu perlulah menulis sebanyak yang mungkin tentang sesuatu isu atau topik tanpa ada sekatan. Tetapi untuk menulis sesuatu isu atau topik mereka haruslah mempunyai pengetahuan tentang perkara yang ingin ditulis. Untuk itu, terdapat banyak sumber yang boleh digunakan untuk seseorang itu memperoleh maklumat. Apatah lagi dalam dunia arus moden dan dunia tanpa sempadan ini, maklumat boleh didapati tanpa ada had. Media elektronik seperti televisyen, radio, internet, iklan dan berita atau media cetak seperti surat khabar, majalah, artikel dan banyak bahan bacaan lain boleh memberikan informasi atau maklumat untuk menambah pengetahuan kita berhubung sesuatu perkara.

    Dalam penulisan berfokus, idea yang dijana perlu dikhususkan kepada sesuatu topik atau isu sahaja. Misalnya jika penulis ingin menulis berkenaan isu politik yang berlaku dalam negara. Perbincangan perlu memfokuskan kepada atmosfera politik di dalam negara tanpa pengaruh luar kerana aliran politik di dalam negara tidak sama dengan politk di luar negara. Penulisan berfokus ini akan menjadi lebih tepat sekiranya penulis faham akan sesuatu isu itu. Ini adalah penting kerana penulisan berfokus perlu menjadi suatu perbincangan yang kritikal kerana ia merupakan wadah yang bersandarkan realiti yang mana ia boleh dijadi sumber bagi sesetengah pihak. Penulis perlu memahami dan mengenalpasti tujuan penulisan, menyasarkan pembaca yang akan membaca penulisan mereka dan menyatakan pandangan atau komen secara telus dan jujur tanpa ada pengaruh dari mana-mana pihak. Ini kerana jika tidak mengambil kira sensitiviti pembaca maka tulisan mereka mungkin akan dikecam. Tajuk yang akan dinamakan pula mestilah sesuai dengan intipati kandungan penulisan.

    Dalam penjanaan idea melalui percambahan fikiran atau brainstorming pula, asas untuk menjana idea ini terletak dalam idea orang lain. Ini bermaksud idea itu dikongsi dengan banyak orang supaya idea tentang sesuatu isu itu tidak hanya terhad kepada sesuatu skop sahaja. Perlu diingat idea kita tidak semestinya bagus dan idea kita mungkin tidak luas skopnya, jadi dengan perkongsian idea dengan banyak orang, idea tentang sesuatu isu itu akan menjadi luas dalam pelbagai aspek yang mungkin kita sendiri tidak terfikir. Ransangan idea secara rawak akan membolehkan idea terhasil dengan banyak dan idea itu boleh digabungkan menjadi satu. Selain itu, dengan melakukan aktiviti ini, hubungan kerjasama dengan ahli lain akan terjalin. Aktiviti seperti ini bukan hanya terhad kepada perkongsian idea tetapi ia turut memperlihatkan kemahiran seseorang itu dalam mengeluarkan pengetahuan yang ada dalam diri mereka untuk dikongsi bersama.

    Lain-lain bentuk pencernaan idea termasuklah cacatan harian dan berimaginasi. Catatan harian bermaksud menulis idea yang terlintas dalam fikiran kita di dalam nota kecil, ditaip dalam komputer, atau dicatat di dalam gajet seperti telefon bimbit. Hal ini adalah penting kerana idea yang terlintas dalam kepala kita tidak akan kekal buat jangka masa yang panjang. Oleh itu adalah penting untuk kita tulis di dalam buku supaya kita boleh merujuk kembali jika terlupa. Untuk itu, sediakan buku nota yang kecil supaya senang untuk dibawa ke mana sahaja kerana idea boleh datang sekelip mata dan boleh hilang dalam sekelip mata juga. Berimaginasi juga boleh menjadi cara untuk seseorang itu mendapat idea. Berimaginasi biasanya dilakukan oleh orang-orang yang kreatif kerana orang yang kreatif selalu memikirkan perkara yang di luar kotak pemikiran manusia. Imaginasi yang dibayangkan tidak sama jika dibandingkan dengan manusia lain. Lihat sahaja bagaimana J.K. Rowling mengadaptasikan imaginasinya ke dalam bentuk penulisan yang sangat menarik dan memukau dalam setiap karyanya. Untuk berimaginasi, seseorang itu perlu meneliti sesuatu aspek dari pandangan orang lain. Tujuannya adalah untuk mereka melebihi pandangan orang lain.

    Seterusnya, penjanaan idea boleh dilakukan melalui teknik heuristik. Heuristik bermaksud bertanyakan soalan kepada orang lain. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan dan ilmu tambahan. Rata-rata dalam kalangan belia hari ini yang takut untuk bertanyakan sesuatu perkara yang tidak diketahui mereka berhubung sesuatu perkara. Sebenarnya teknik ini jauh lebih berkesan untuk mendapat maklumat kerana apabila kita bertanya, jawapan akan diterima secara cepat, spontan dan sehala. Ini bermaksud apabila sesuatu ilmu yang kita terima secara lisan ia akan lebih mudah untuk kekal dalam ingatan dan mudah untuk di fahami berbanding jika membaca dalam buku. Tetapi bukan semua orang boleh memberikan maklumat yang betul berhubung sesuatu perkara jadi kita perlu memastikan ia benar dan sahih sebelum dijadikan sumber idea.


    Kesimpulannya, dalam mencerna idea untuk menulis terdapat banyak saluran yang boleh digunakan antaranya secara bebas, berfokus, percambahan fikiran, mencatat nota kecil, berimaginasi dan heuristik. Ini merupakan sebahagian sahaja daripada proses penjanaan idea yang diperlukan untuk memperoleh idea. Jika dilihat dari sudut ilmiah, sumber idea banyak diperoleh melalui pembacaan buku. Tidak kira apa sahaja buku yang kita baca, terdapat banyak perkara berfaedah yang boleh diambil sebagai sumber ilmu pengetahuan tentang kehidupan duniawi. Terdapat banyak genre buku yang diterbitkan dalam pasaran yang meliputi pelbagai bidang ilmu yang boleh dijadikan panduan. Semuanya terletak di dalam diri kita sendiri sama ada ingin memperoleh ilmu dengan cara yang seperti apa. Pokok pangkalnya adalah niat.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...