Saturday, May 26, 2012

Mencerna idea untuk menulis

    Idea merupakan buah fikiran seseorang untuk diungkapkan ke dalam pelbagai bentuk seperti produk, pembangunan, promosi pemasaran, penterjemahan, penulisan dan banyak lagi. Idea merupakan perkara pokok atau asas yang mesti ada untuk seseorang meluahkan dalam pelbagai bentuk supaya ia dapat difahami oleh semua orang. Jika idea tidak dikembangkan atau divisualkan, idea yang berada di dalam minda seseorang tidak dapat digunapakai kerana idea tidak dapat dibaca secara halus. Idea seringkali dikaitkan dengan perkara-perkara ilmiah yang membolehkan seseorang itu dapat menunjukkan kemahiran berfikir secara kritis kerana cara pemikiran untuk mendapatkan idea tidak dimiliki oleh semua orang. Dalam konteks pembelajaran ilmiah, idea yang dikembangkan melalui saluran yang betul akan dapat diterima oleh sebagai suatu teori atau falsafah yang mana ia akan dikembangkan secara berperingkat.

    Penulisan yang baik seringkali dikaitkan dengan idea yang baik. Untuk menulis sesuatu perkara, idea merupakan sumber utama yang perlu diketengahkan kerana tanpa idea yang baik, sesuatu penulisan atau karya itu menjadi tidak menarik. Karya atau penulisan yang baik mestilah mempunyai pelbagai tema untuk mencuri perhatian audiens atau khalayak yang membacanya. Misalnya penulis novel atau penulis blog, idea yang diketengahkan oleh mereka melalui medium pembacaan adalah sangat bagus kerana mereka tahu apa yang pembaca mahukan.  Tema juga merupakan asas penting untuk pencambahan idea, misalnya penulis novel Barat iaitu J.K. Rowling yang menerbitkan karya Harry Potter. Beliau menggunakan tema fantasi yang sangat kreatif untuk menarik perhatian khalayak kerana pemilihan idea yang seperti ini memerlukan imaginasi yang tinggi supaya pembaca yang membaca karya mereka akan terbuai-buai di alam fantasi kerana membayangkan situasi yang seperti di dalam novel yang sememangnya tiada dalam alam realiti. Begitu juga dengan pemilihan tema seperti cinta. Lihat sahaja bagaimana Fauziah Ashaari memukau pembaca novel beliau iaitu Ombak Rindu yang mana temanya sarat dengan percintaan dan alunan emosi dan perasaan yang asyik. Begitu juga dengan penulis blog, mereka harus peka dengan keadaan sekeliling kerana penulis blog menjadikan isu semasa sebagai sandaran kepada intipati blog mereka. Jadi idea yang digunapakai oleh mereka memang sentiasa ada kerana mereka hanya perlu memberikan pendapat atau komen berhubung sesuatu isu. Jadi bagaimanakah caranya untuk seseorang itu mencerna idea untuk diungkapkan ke dalam bentuk tulisan yang baik?

    Terdapat banyak cara untuk mencerna atau menjana idea untuk menulis dengan baik. Terdapat beberapa langkah atau proses dalam menjana idea iaitu secara bebas, berfokus, percambahan fikiran, mencatat nota kecil, berimaginasi dan heuristik. Dalam mencerna idea untuk penulisan bebas, idea yang ditulis perlulah spontan. Apa sahaja yang terlintas di fikiran haruslah ditulis sebanyak yang boleh tanpa mengambilkira faktor tatabahasa. Ini kerana faktor tatabahasa akan menyebabkan idea yang dilontarkan secara spontan itu akan menjadi lambat. Dalam jenis penjanaan idea ini seseorang itu perlulah menulis sebanyak yang mungkin tentang sesuatu isu atau topik tanpa ada sekatan. Tetapi untuk menulis sesuatu isu atau topik mereka haruslah mempunyai pengetahuan tentang perkara yang ingin ditulis. Untuk itu, terdapat banyak sumber yang boleh digunakan untuk seseorang itu memperoleh maklumat. Apatah lagi dalam dunia arus moden dan dunia tanpa sempadan ini, maklumat boleh didapati tanpa ada had. Media elektronik seperti televisyen, radio, internet, iklan dan berita atau media cetak seperti surat khabar, majalah, artikel dan banyak bahan bacaan lain boleh memberikan informasi atau maklumat untuk menambah pengetahuan kita berhubung sesuatu perkara.

    Dalam penulisan berfokus, idea yang dijana perlu dikhususkan kepada sesuatu topik atau isu sahaja. Misalnya jika penulis ingin menulis berkenaan isu politik yang berlaku dalam negara. Perbincangan perlu memfokuskan kepada atmosfera politik di dalam negara tanpa pengaruh luar kerana aliran politik di dalam negara tidak sama dengan politk di luar negara. Penulisan berfokus ini akan menjadi lebih tepat sekiranya penulis faham akan sesuatu isu itu. Ini adalah penting kerana penulisan berfokus perlu menjadi suatu perbincangan yang kritikal kerana ia merupakan wadah yang bersandarkan realiti yang mana ia boleh dijadi sumber bagi sesetengah pihak. Penulis perlu memahami dan mengenalpasti tujuan penulisan, menyasarkan pembaca yang akan membaca penulisan mereka dan menyatakan pandangan atau komen secara telus dan jujur tanpa ada pengaruh dari mana-mana pihak. Ini kerana jika tidak mengambil kira sensitiviti pembaca maka tulisan mereka mungkin akan dikecam. Tajuk yang akan dinamakan pula mestilah sesuai dengan intipati kandungan penulisan.

    Dalam penjanaan idea melalui percambahan fikiran atau brainstorming pula, asas untuk menjana idea ini terletak dalam idea orang lain. Ini bermaksud idea itu dikongsi dengan banyak orang supaya idea tentang sesuatu isu itu tidak hanya terhad kepada sesuatu skop sahaja. Perlu diingat idea kita tidak semestinya bagus dan idea kita mungkin tidak luas skopnya, jadi dengan perkongsian idea dengan banyak orang, idea tentang sesuatu isu itu akan menjadi luas dalam pelbagai aspek yang mungkin kita sendiri tidak terfikir. Ransangan idea secara rawak akan membolehkan idea terhasil dengan banyak dan idea itu boleh digabungkan menjadi satu. Selain itu, dengan melakukan aktiviti ini, hubungan kerjasama dengan ahli lain akan terjalin. Aktiviti seperti ini bukan hanya terhad kepada perkongsian idea tetapi ia turut memperlihatkan kemahiran seseorang itu dalam mengeluarkan pengetahuan yang ada dalam diri mereka untuk dikongsi bersama.

    Lain-lain bentuk pencernaan idea termasuklah cacatan harian dan berimaginasi. Catatan harian bermaksud menulis idea yang terlintas dalam fikiran kita di dalam nota kecil, ditaip dalam komputer, atau dicatat di dalam gajet seperti telefon bimbit. Hal ini adalah penting kerana idea yang terlintas dalam kepala kita tidak akan kekal buat jangka masa yang panjang. Oleh itu adalah penting untuk kita tulis di dalam buku supaya kita boleh merujuk kembali jika terlupa. Untuk itu, sediakan buku nota yang kecil supaya senang untuk dibawa ke mana sahaja kerana idea boleh datang sekelip mata dan boleh hilang dalam sekelip mata juga. Berimaginasi juga boleh menjadi cara untuk seseorang itu mendapat idea. Berimaginasi biasanya dilakukan oleh orang-orang yang kreatif kerana orang yang kreatif selalu memikirkan perkara yang di luar kotak pemikiran manusia. Imaginasi yang dibayangkan tidak sama jika dibandingkan dengan manusia lain. Lihat sahaja bagaimana J.K. Rowling mengadaptasikan imaginasinya ke dalam bentuk penulisan yang sangat menarik dan memukau dalam setiap karyanya. Untuk berimaginasi, seseorang itu perlu meneliti sesuatu aspek dari pandangan orang lain. Tujuannya adalah untuk mereka melebihi pandangan orang lain.

    Seterusnya, penjanaan idea boleh dilakukan melalui teknik heuristik. Heuristik bermaksud bertanyakan soalan kepada orang lain. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan dan ilmu tambahan. Rata-rata dalam kalangan belia hari ini yang takut untuk bertanyakan sesuatu perkara yang tidak diketahui mereka berhubung sesuatu perkara. Sebenarnya teknik ini jauh lebih berkesan untuk mendapat maklumat kerana apabila kita bertanya, jawapan akan diterima secara cepat, spontan dan sehala. Ini bermaksud apabila sesuatu ilmu yang kita terima secara lisan ia akan lebih mudah untuk kekal dalam ingatan dan mudah untuk di fahami berbanding jika membaca dalam buku. Tetapi bukan semua orang boleh memberikan maklumat yang betul berhubung sesuatu perkara jadi kita perlu memastikan ia benar dan sahih sebelum dijadikan sumber idea.


    Kesimpulannya, dalam mencerna idea untuk menulis terdapat banyak saluran yang boleh digunakan antaranya secara bebas, berfokus, percambahan fikiran, mencatat nota kecil, berimaginasi dan heuristik. Ini merupakan sebahagian sahaja daripada proses penjanaan idea yang diperlukan untuk memperoleh idea. Jika dilihat dari sudut ilmiah, sumber idea banyak diperoleh melalui pembacaan buku. Tidak kira apa sahaja buku yang kita baca, terdapat banyak perkara berfaedah yang boleh diambil sebagai sumber ilmu pengetahuan tentang kehidupan duniawi. Terdapat banyak genre buku yang diterbitkan dalam pasaran yang meliputi pelbagai bidang ilmu yang boleh dijadikan panduan. Semuanya terletak di dalam diri kita sendiri sama ada ingin memperoleh ilmu dengan cara yang seperti apa. Pokok pangkalnya adalah niat.


Perempuan yang cantik


Cantik sering kali dedefinisikan sebagai apa sahaja perkara atau benda yang elok, lawa, sedap mata memandang dan sebagainya. Seringkali juga cantik dikaitkan dengan perempuan, bunga, keindahan panorama, dan banyak lagi kerana itu semua memiliki sifat feminisme yang sangat sesuai dengan istilah cantik. Akan tetapi dalam konteks duniawi, cantik itu tidak dinafikan sangat sesuai jika dikaitkan dengan perempuan kerana perbandingan perkara atau objek yang cantik akan dilihat dengan membandingkannya dengan perempuan. Tetapi cantik yang dimaksudkan melalui perempuan juga tidak semestinya bersandarkan paras rupa atau kecantikan luaran semata-mata kerana perempuan yang cantik luaran tetapi dalamannya tidak secantik luaran, tidak membawa maksud kecantikan yang sebenar. Maka cantik itu perlu ditafsirkan secara luran dan dalaman dalam erti kata sebenar. 

Setiap manusia adalah unik, mempunyai kelebihan dan kekurangan dan tidak terkecuali daripada sifat lemah, hina, buruk dan bermacam-macam lagi. Tiada yang sesempurna seperti Rasulullah s.a.w. Akan tetapi tidak semestinya cantik itu perlu dinilai berdasarkan paras rupa. Sebenarnya kecantikan yang asli terletak di dalam hati seseorang itu kerana dari hatilah terbitnya kecantikan seseorang. Jadi apakah cirri-ciri perempuan yang cantik? Oleh kerana cantik itu dilihat daripada mata kasar, mari kita singkap kecantikan perempuan secara luaran dahulu kerana manusia atau lebih tepat lelaki kebiasaannya bersifat ‘state the obvious’, yang mana mereka lebih melihat kepada kecantikan luaran dahulu. Antara ciri-ciri perempuan yang cantik adalah … 
          a) Senyuman yang manis, :)
*oh ini lisa surihani, beliau telah berkahwin. tettttt









  Manusia atau senang cakap lelaki memang sukakan perempuan yang memiliki senyuman yang manis. Walaupuan kadang-kadang seseorang perempuan itu Nampak biasa tetapi jika diamati secara dekat, senyuman yang diukir akan menyerlahkan kecantikannya.

b) Pemalu
Sifat pemalu memang sinonim dengan perempuan sejak dari dahulu lagi. Mitos mengatakan perempuan yang malu adalah sangat berahklak kerana mereka tidak membenarkan keadaan sekililing mempengaruhi sikap semulajadi perempuan itu sendiri. Oleh kerana itu lah, jikalau ada orang yang datang kerumah yang ada anak gadis, mereka akan duduk dalam bilik sahaja tanda MALU. 

            c) Pembersih
   Perempuan yang pembersih juga adalah perempuan yang cantik. Jika seseorang perempuan itu tidak menjaga kebersihan diri sendiri, bagaimana pula mereka ingin menjaga kebersihan rumah, keluarga, anak-anak dan alam sekitar? Sebenarnya perempuan telah lama dianggap sebagai agen pembersihan. Oleh kerana itu lah, perempuan mendapat jolokan suri rumah pada masa dahulu kerana hanya mereka sahaja yang dapat membersihkan rumah, anak-anak dan suami. Tettttt.

d) Bertudung












      Ciri yang ini memang tidak perlu dinafikan lagi. Perempuan yang bertudung sememangnya cantik kerana mengikut perintah Allah S.W.T. Sering kali perempuan yang bertudung membuat ramai lelaki tertawan kerana menjaga penampilan yang semulajadi cantik dan kemas.

            e) Pendiam
         Perempuan yang pendiam menurut sesetengah lelaki adalah sangat cantik. Bagi mereka bercakap hanya apabila perlu sahaja untuk menjaga batas-batas pergaulan. Perempuan yang pendiam juga akan terserlah kecantikannya. Bayangkan apabila si lelaki menegur perempuan, tetapi dibalas dengan senyuman yang manis. Aduhai.
*ini perempuan korea, uhuk uhuk


        Ada banyak lagi ciri-ciri perempuan yang cantik jika ingin diteroka. Walau bagaimana pun, perempuan yang cantik tidak harus bersandarkan kepada rupa paras semata-mata. Ahklak juga perlu dijaga untuk mengekalkan kesucian diri demi bakal lelaki yang akan menghuni hati mereka. Pantun melayu ada mengatakan,

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Jelaslah disini kecantikan itu bergerak seiring dengan budi dan ahklak yang baik. Sebenarnya pantun ini juga disokong dengan kata-kata hikmah ini,

Siapakah orang yang paling cantik? Adalah mereka yang berahlak mulia.

Sesungguhnya yang benar hanya datang dari Allah SWT dan yang buruk datang daripada diri kita sendiri. 






Tuesday, May 15, 2012

Sajak Buat Ibu

Ibu
Tiap detik jantungku
kau mampu merasa
aku sedih, suka dan gelisah
kau juga mampu merasa

Pabila aku sedih
kau penawar kesedihanku
kau berikan keceriaan
kau hapuskan kedukaan dalam perasaanku

Pabila aku suka
kau turut gembira
kita berkongsi rasa bersama-sama
seperti dahulu kala
di mana duniaku hanya ada kau, ibu

Pabila aku gelisah
kau turut merasa resah
tapi kau tidak gentar
saat kau lafazkan, 'semuanya akan jadi baik'
hatiku dibalut rasa tenang, setenang-tenangnya


Ibu
aku tahu aku anak yang paling menyusahkan
setiap kehendak aku kau tunaikan
setiap ragam aku kau layankan
setiap salah aku kau maafkan
terlalu besar jasamu ibu
terlalu luas pengorbananmu ibu


Ibu
aku berjanji selagi hayat dikandung badan
kau akan aku jaga
jasamu akan aku balas
kerana cinta dan sayangmu kepada aku
tidak akan mampu aku bayar

Sesungguhnya aku amat menyayangi kau, oh Ibu...

-Mohamad Rosnizam b. Sahar-









Kepentingan Ilmu

    Pada masa kini, perkembangan pesat teknologi mengatasi segala-galanya. Segala yang diwujudkan dalam kehidupan seharian memerlukan teknologi untuk difungsikan. Ini semua berpaksikan ilmu yang ada pada seseorang untuk mengubah dan merevolusikan teknologi. Asasnya adalah ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan boleh diibaratkan seperti virus, yakni ia sentiasa berkembang dan berkembang. Ilmu boleh merebak dengan luas tanpa mengira sempadan. Sesiapa sahaja boleh memiliki ilmu kerana manusia lah yang menggerakkan ilmu. Ini kerana ilmu hanya boleh dilestarikan dengan akal manusia.

    Lewat ini juga, di lihat penguasaaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian. Perubahan zaman kian membuktikan penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana. Ini bermakna ilmu tidak hanya terhad kepada sesuatu skop atau sesuatu bidang sahaja tetapi ia meluas. Pendek kata, apa sahaja yang kita lakukan perlulah berpaksikan kepada ilmu. Misalnya untuk berniaga kita perlu tahu tentang selok belok perniagaan, maka ilmu perniagaan perlu diteroka, untuk memimpin sesuatu firma kita perlu tahu tentang ilmu kepimpinan. Akan tetapi bukan semua ilmu boleh kita peroleh melalui buku atau di sekolah tetapi melalui pengalaman atau panduan orang lain juga.

    Dengan adanya ilmu, kita kita tidak akan berasa ketinggalan, diperbodohkan dan juga rendah diri. Oleh yang demikian, peluang yang ada harus di rebut untuk memastikan penguasaan ilmu tidak kira dalam bidang tertentu atau pun sebaliknya. Ini bermakna ilmu merupakan satu anugerah untuk kita mengubah persepsi orang lain terhadap kita. Tetapi perlu diingat juga, ilmu adalah sesuatu yang kita tidak nampak. Ia hanya boleh ditunjukkan oleh seseorang dalam keadaan-keadaan tertentu. Oleh kerana itu kita perlulah berhati-hati dengan sikap kita terhadap orang lain. Pepatah Inggeris ada mengatakan 'don't judge a book by it's cover'. Jadi tidak perlu kita menghukum penampilan seseorang kerana boleh jadi disebalik penampilan mereka yang tidak seberapa, tersirat banyak ilmu yang mungkin tidak setanding jika dibandingkan dengan diri kita sendiri. 

    Antara manfaat sekiranya kita berilmu ialah dapat memajukan diri sendiri, dan tidak mustahil kita boleh memberi faedah kepada komuniti, masyarakat dan juga negara. Contohnya, pembangunan inovasi dalam pelbagai bidang yang boleh memberikan kemudahan kepada manusia. Hal ini jelas ditunjukkan melalui inovasi yang dilakukan oleh para usahawan dalam memasarkan produk yang berkualiti dalam pasaran. Idea yang diserapkan melalui penghasilan produk itu sebenarnya adalah terjemahan ilmu yang ada dalam diri mereka. Jadi, dapat disimpulalkan juga ilmu dapat dikongsi dengan masyarakat bukan hanya melalui idea dan teori tetapi boleh juga dikongsi melalui produk-produk yang diwujudkan. Besar kesannya jika produk yang diterbitkan menepati citarasa masyarakat kerana penerimaan yang baik menandakan kesan positif untuk jangka masa yang panjang dan seterusnya akan menyumbang sesuatu yang sangat berfaedah untuk negara. 

    Kesimpulannya, ilmu sentiasa menerangi kehidupan seseorang daripada perkara yang tidak sepatutnya. Dengan ilmu, ia memberi cahaya kepada pembangunan hidup berkualiti. Signifikan kepada cahaya, ia sememangnya menyinari kehidupan sesiapa sahaja yang hidup dalam keadaan suram dan gelap. Cahaya digunakan untuk memberi panduan ketika dalam kegelapan, begitu jugalah dengan ilmu, seperti bak kata pepatah 'ilmu pelita hidup'. Orang yang berilmu sentiasa akan berasa tenang dan hidup dalam harmoni. 

Isu Pendidikan Nasional Semasa

    Assalamualaikum, sebelum tu rasanya dah terlambat kot nak ucapkan tahniah dekat budak-budak lepasan SPM yang rata-ratanya dapat keputusan yang cemerlang. Tapi saya nak jugak ucapkan tahniah untuk semua kerana berjaya menawan kejayaan dalam peperangan minda yang berlangsung selama 2 tahun dalam zaman sekolah masing. Suasananya berbeza, sekolah pun berbeza, teman-teman seperjuangan berbeza, cikgu-cikgu pon berbeza tapi yang pasti matlamat semua sama. SPM ni penting sebab sijil yang kita dapat tu yang menetukan masa depan kita. Kalau keputusan yang kita dapat tidak menepati apa yang kita harapkan agak susah untuk kita tempatkan diri kita dalam kalangan orang-orang yang nak melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Ok, mukadimahnya panjang sangat, sebenarnya nak cerita pasal isu pendidikan nasional semasa je. 

    Negara kita ketika ini masih mengamalkan sistem pendidikan yang sama seperti dahulu. Isu pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun 2008 telah dimansuhkan sepenuhnya pada tahun ini. Ramai yang sedia maklum, PPSMI dilaksanakan adalah untuk mendedahkan para pelajar dengan ilmu Matematik dan Sains dengan lebih meluas kerana penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua subjek ini tidak terhenti setakat peringkat SPM sahaja. Ini kerana penggunaan Bahasa Inggeris memainkan peranan yang sangat penting dalam kedua-dua subjek ini sebab lanjutan ilmu yang diperluaskan di peringkat universiti semuanya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Kerajaan memandang isu ini sebagai serius kerana disamping ingin meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris, para pelajar juga boleh membuat persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi. 

    Akan tetapi, disebalik isu PPSMI ini yang mempunyai banyak kelebihan, ada juga kekurangannya. Hal ini dapat dilihat dalam peperiksaan yang berlangsung saban tahun tidak kira di peringkat sekolah rendah atau pun sekolah menengah. Prestasi yang ditunjukkan oleh para pelajar dilihat tidak memuaskan malah ada antara mereka yang dilihat tidak mampu untuk menggalas mata pelajaran kerana bahasa yang digunakan telah berubah. Hal ini mungkin berbeza dengan pelajar sekolah menengah kerana mereka sudah sedia maklum akan penggunaan Bahasa Inggeris, tetapi kepada pelajar sekolah rendah mungkin segelintir daripada mereka tidak mampu menguasai Matematik dan Sains dengan baik. Menurut kajian oleh satu memorandum, jelas menunjukkan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris. Malah kebanyakan pelajar yang berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka. Selain itu, isu PPSMI ini dikatakan memihak kepada keluarga di bandar. Menurut Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka. 


    Kesimpulannya, isu PPSMI ini yang pernah mencetuskan kemarahan masyarakat suatu ketika dahulu telah berjaya diselesaikan dengan baik. Bantahan daripada sesetengah cendiakawan, sasterawan dan budayawan yang telah menyatakan pendirian masing-masing telah berjaya menyelesaikan isu ini. Pada pandangan saya, jika dasar PPSMI ini diteruskan sejak dari dahulu mungkin para pelajar dapat mengadaptasi jenis pembelajaran menggunakan Bahasa Inggeris dengan baik. Sebenarnya dasar ini pernah digunapakai suatu ketika dahulu tetapi telah dimansuhkan. Akibat desakan beberapa faktor ia telah digunakan semula namun sudah terlalu lambat untuk mengubah persepsi masyarakat pada ketika ini. 


Tuesday, March 13, 2012

Makna Sebuah Universiti

     Universiti adalah sebuah institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan yang memberikan ijazah akademik dalam pelbagai subjek. Universiti juga adalah sebuah organisasi yang menyediakan kedua-dua pendidikan ijazah dan pendidikan pascasiswazah. Universiti perkataan berasal dari Latin universitas magistrorum et scholarium, yang secara kasarnya bermaksud "masyarakat guru dan ulama".Perkataan asal Latin "universiti" merujuk secara umum kepada "beberapa orang yang berkaitan ke dalam satu badan, masyarakat, syarikat, komuniti, persatuan, perbadanan, dll."

    Pada masa kini, kelayakan untuk memasuki sesebuah universiti sudah tidak terbatas seperti dahulu. Hampir semua bekas pelajar lepasan sekolah dikatakan mendapat tempat di dalam universiti. Jika dilihat senario ini suatu ketika dahulu, bagi pelajar yang memasuki universiti akan menjadi kebanggaan keluarga tidak kira sama ada di kampung atau pun di bandar kerana hanya pelajar yang terpilih sahaja layak. Bagaimana pula dengan senario ketika ini? Sebenarnya bagi pelajar yang tidak mendapat tempat di universiti tidak perlu mengeluh kerana dengan perkembangan teknologi yang pesat berkembang kini, semuanya boleh dicari dengan mudah. Tetapi lain pula perihalnya bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di dalam universiti. Ilmu yang diperoleh di dalam bidang yang dipilih merupakan langkah kita untuk mencorak destinasi kita pada suatu hari nanti.

    Sebagaimana tempoh kita belajar di alam persekolahan, begitu juga lah persamaannya ketika menuntut di universiti. Pengalaman, keperitan, kenangan indah dan segala macam perasaan akan kita lalui dalam alam pembelajaran di perbukitan ilmu ini. Suasananya mungkin tidak sama, begitu juga dengan memorinya tetapi pengalaman ini yang akan membuatkan kita menjadi matang, pengalaman ini yang akan mendewasakan kita dan pengalaman ini juga lah yang akan memandu kita untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa kelak. Pengalaman berada di dalam universiti tidak akan pernah sama dengan pengalaman kita di bangku sekolah dahulu kerana sistem pembelajaran di universiti adalah lebih santai berbanding dengan sistem di alam persekolahan yang mana semuanya sudah diatur. Ekoran itu pelajar akan lebih banyak terdedah dengan segala macam gelagat dan realiti kehidupan. Di universiti ini juga pelajar lebih digalakkan bersifat aktif untuk melontarkan segala macam pendapat dan idea demi memartabatkan maruah universiti. Tiada batasan untuk berfikir, tiada sempadan untuk berkongsi idea, tiada betul dan tiada salah.

    Sudah tentu dalam tempoh 3 hingga 4 tahun berada di dalam universiti adalah terlalu singkat untuk kita gali segala macam ilmu. Ya, masa yang kita ada terlalu singkat tetapi manfaatkanlah ia dengan perkara yang mendatangkan kebaikan bukan sahaja untuk diri kita tetapi untuk orang lain juga.Ini kerana masyarakat diluar memandang tinggi darjat seseorang yang memasuki universiti kerana pelajar universiti dianggap peneraju negara pada masa hadapan. Makna universiti itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya pelajar berjaya menghayati visi dan misi mereka di dalam alam perbukitan ilmu ini. Kejayaan pelajar itu tidak hanya bergantung dengan prestasi akademik yang ditunjukkan tetapi juga akan dihitung dengan sumbangannya dalam universiti. Segala penat lelah dalam tempoh pengajian juga akan lebih memberikan makna yang mendalam setelah kita diberikan segulung ijazah kelak. Kepuasannya hanya akan terasa bagi pelajar yang benar-benar mencurahkan segala baktinya kepada universiti.

Universitiku, Universiti Utara Malaysia :)

Sunday, March 4, 2012

SAHABAT YANG DIRINDUI

Moga iringan langkah kita ini membawa kita ke destinasi yang sama

Sahabat,
Seringkali terdetik di hati kecil ini, benarkah wujudnya di dunia ini sebuah persahabatan yang kekal abadi?
Atau adakah segala kenangan indah yang diukir bersama akan berakhir tatkala masing-masing membawa halatuju tersendiri. Adakah batasan geografi merupakan tanda akhir bagi sesebuah persahabatan. 
Ya, mungkin.
Seandainya persahabatan itu masih tersisa, keakraban mungkin tidak seperti dahulu. Segalanya semakin tiris berlalu dengan waktu. 

Adakalanya tatkala aku bersendiri mengharapkan seorang sahabat menemani, aku menangis sendiri.
Ya! Seolah-olah aku mengakui tiada persahabatan yang kekal abadi. Mungkin retorik kata penyedap telinga yang menyinggah sebagai plot kehidupan episod jiwa.

Namun, segala-galanya ku jernihkan kembali. 
Ku imbau kenangan kita bersama. Ku kukuhkan kembali hati dan iman ini dengan janji kita bersama.
Masih segar dalam ingatan setiap bait katamu sahabat yang berkilau bak permata;
Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar.
Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. 
Sahabat sejati menjadi pendorong impian. 
Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Moga Allah golongkan kita dalam golongan pemuda yang bertemu dan berpisah kerana-Nya.
InsyaAllah.

-Rosnizam Sahar-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...