Tuesday, May 15, 2012

Kepentingan Ilmu

    Pada masa kini, perkembangan pesat teknologi mengatasi segala-galanya. Segala yang diwujudkan dalam kehidupan seharian memerlukan teknologi untuk difungsikan. Ini semua berpaksikan ilmu yang ada pada seseorang untuk mengubah dan merevolusikan teknologi. Asasnya adalah ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan boleh diibaratkan seperti virus, yakni ia sentiasa berkembang dan berkembang. Ilmu boleh merebak dengan luas tanpa mengira sempadan. Sesiapa sahaja boleh memiliki ilmu kerana manusia lah yang menggerakkan ilmu. Ini kerana ilmu hanya boleh dilestarikan dengan akal manusia.

    Lewat ini juga, di lihat penguasaaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian. Perubahan zaman kian membuktikan penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana. Ini bermakna ilmu tidak hanya terhad kepada sesuatu skop atau sesuatu bidang sahaja tetapi ia meluas. Pendek kata, apa sahaja yang kita lakukan perlulah berpaksikan kepada ilmu. Misalnya untuk berniaga kita perlu tahu tentang selok belok perniagaan, maka ilmu perniagaan perlu diteroka, untuk memimpin sesuatu firma kita perlu tahu tentang ilmu kepimpinan. Akan tetapi bukan semua ilmu boleh kita peroleh melalui buku atau di sekolah tetapi melalui pengalaman atau panduan orang lain juga.

    Dengan adanya ilmu, kita kita tidak akan berasa ketinggalan, diperbodohkan dan juga rendah diri. Oleh yang demikian, peluang yang ada harus di rebut untuk memastikan penguasaan ilmu tidak kira dalam bidang tertentu atau pun sebaliknya. Ini bermakna ilmu merupakan satu anugerah untuk kita mengubah persepsi orang lain terhadap kita. Tetapi perlu diingat juga, ilmu adalah sesuatu yang kita tidak nampak. Ia hanya boleh ditunjukkan oleh seseorang dalam keadaan-keadaan tertentu. Oleh kerana itu kita perlulah berhati-hati dengan sikap kita terhadap orang lain. Pepatah Inggeris ada mengatakan 'don't judge a book by it's cover'. Jadi tidak perlu kita menghukum penampilan seseorang kerana boleh jadi disebalik penampilan mereka yang tidak seberapa, tersirat banyak ilmu yang mungkin tidak setanding jika dibandingkan dengan diri kita sendiri. 

    Antara manfaat sekiranya kita berilmu ialah dapat memajukan diri sendiri, dan tidak mustahil kita boleh memberi faedah kepada komuniti, masyarakat dan juga negara. Contohnya, pembangunan inovasi dalam pelbagai bidang yang boleh memberikan kemudahan kepada manusia. Hal ini jelas ditunjukkan melalui inovasi yang dilakukan oleh para usahawan dalam memasarkan produk yang berkualiti dalam pasaran. Idea yang diserapkan melalui penghasilan produk itu sebenarnya adalah terjemahan ilmu yang ada dalam diri mereka. Jadi, dapat disimpulalkan juga ilmu dapat dikongsi dengan masyarakat bukan hanya melalui idea dan teori tetapi boleh juga dikongsi melalui produk-produk yang diwujudkan. Besar kesannya jika produk yang diterbitkan menepati citarasa masyarakat kerana penerimaan yang baik menandakan kesan positif untuk jangka masa yang panjang dan seterusnya akan menyumbang sesuatu yang sangat berfaedah untuk negara. 

    Kesimpulannya, ilmu sentiasa menerangi kehidupan seseorang daripada perkara yang tidak sepatutnya. Dengan ilmu, ia memberi cahaya kepada pembangunan hidup berkualiti. Signifikan kepada cahaya, ia sememangnya menyinari kehidupan sesiapa sahaja yang hidup dalam keadaan suram dan gelap. Cahaya digunakan untuk memberi panduan ketika dalam kegelapan, begitu jugalah dengan ilmu, seperti bak kata pepatah 'ilmu pelita hidup'. Orang yang berilmu sentiasa akan berasa tenang dan hidup dalam harmoni. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...