Tuesday, May 15, 2012

Kepentingan Ilmu

    Pada masa kini, perkembangan pesat teknologi mengatasi segala-galanya. Segala yang diwujudkan dalam kehidupan seharian memerlukan teknologi untuk difungsikan. Ini semua berpaksikan ilmu yang ada pada seseorang untuk mengubah dan merevolusikan teknologi. Asasnya adalah ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan boleh diibaratkan seperti virus, yakni ia sentiasa berkembang dan berkembang. Ilmu boleh merebak dengan luas tanpa mengira sempadan. Sesiapa sahaja boleh memiliki ilmu kerana manusia lah yang menggerakkan ilmu. Ini kerana ilmu hanya boleh dilestarikan dengan akal manusia.

    Lewat ini juga, di lihat penguasaaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian. Perubahan zaman kian membuktikan penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana. Ini bermakna ilmu tidak hanya terhad kepada sesuatu skop atau sesuatu bidang sahaja tetapi ia meluas. Pendek kata, apa sahaja yang kita lakukan perlulah berpaksikan kepada ilmu. Misalnya untuk berniaga kita perlu tahu tentang selok belok perniagaan, maka ilmu perniagaan perlu diteroka, untuk memimpin sesuatu firma kita perlu tahu tentang ilmu kepimpinan. Akan tetapi bukan semua ilmu boleh kita peroleh melalui buku atau di sekolah tetapi melalui pengalaman atau panduan orang lain juga.

    Dengan adanya ilmu, kita kita tidak akan berasa ketinggalan, diperbodohkan dan juga rendah diri. Oleh yang demikian, peluang yang ada harus di rebut untuk memastikan penguasaan ilmu tidak kira dalam bidang tertentu atau pun sebaliknya. Ini bermakna ilmu merupakan satu anugerah untuk kita mengubah persepsi orang lain terhadap kita. Tetapi perlu diingat juga, ilmu adalah sesuatu yang kita tidak nampak. Ia hanya boleh ditunjukkan oleh seseorang dalam keadaan-keadaan tertentu. Oleh kerana itu kita perlulah berhati-hati dengan sikap kita terhadap orang lain. Pepatah Inggeris ada mengatakan 'don't judge a book by it's cover'. Jadi tidak perlu kita menghukum penampilan seseorang kerana boleh jadi disebalik penampilan mereka yang tidak seberapa, tersirat banyak ilmu yang mungkin tidak setanding jika dibandingkan dengan diri kita sendiri. 

    Antara manfaat sekiranya kita berilmu ialah dapat memajukan diri sendiri, dan tidak mustahil kita boleh memberi faedah kepada komuniti, masyarakat dan juga negara. Contohnya, pembangunan inovasi dalam pelbagai bidang yang boleh memberikan kemudahan kepada manusia. Hal ini jelas ditunjukkan melalui inovasi yang dilakukan oleh para usahawan dalam memasarkan produk yang berkualiti dalam pasaran. Idea yang diserapkan melalui penghasilan produk itu sebenarnya adalah terjemahan ilmu yang ada dalam diri mereka. Jadi, dapat disimpulalkan juga ilmu dapat dikongsi dengan masyarakat bukan hanya melalui idea dan teori tetapi boleh juga dikongsi melalui produk-produk yang diwujudkan. Besar kesannya jika produk yang diterbitkan menepati citarasa masyarakat kerana penerimaan yang baik menandakan kesan positif untuk jangka masa yang panjang dan seterusnya akan menyumbang sesuatu yang sangat berfaedah untuk negara. 

    Kesimpulannya, ilmu sentiasa menerangi kehidupan seseorang daripada perkara yang tidak sepatutnya. Dengan ilmu, ia memberi cahaya kepada pembangunan hidup berkualiti. Signifikan kepada cahaya, ia sememangnya menyinari kehidupan sesiapa sahaja yang hidup dalam keadaan suram dan gelap. Cahaya digunakan untuk memberi panduan ketika dalam kegelapan, begitu jugalah dengan ilmu, seperti bak kata pepatah 'ilmu pelita hidup'. Orang yang berilmu sentiasa akan berasa tenang dan hidup dalam harmoni. 

Isu Pendidikan Nasional Semasa

    Assalamualaikum, sebelum tu rasanya dah terlambat kot nak ucapkan tahniah dekat budak-budak lepasan SPM yang rata-ratanya dapat keputusan yang cemerlang. Tapi saya nak jugak ucapkan tahniah untuk semua kerana berjaya menawan kejayaan dalam peperangan minda yang berlangsung selama 2 tahun dalam zaman sekolah masing. Suasananya berbeza, sekolah pun berbeza, teman-teman seperjuangan berbeza, cikgu-cikgu pon berbeza tapi yang pasti matlamat semua sama. SPM ni penting sebab sijil yang kita dapat tu yang menetukan masa depan kita. Kalau keputusan yang kita dapat tidak menepati apa yang kita harapkan agak susah untuk kita tempatkan diri kita dalam kalangan orang-orang yang nak melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Ok, mukadimahnya panjang sangat, sebenarnya nak cerita pasal isu pendidikan nasional semasa je. 

    Negara kita ketika ini masih mengamalkan sistem pendidikan yang sama seperti dahulu. Isu pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun 2008 telah dimansuhkan sepenuhnya pada tahun ini. Ramai yang sedia maklum, PPSMI dilaksanakan adalah untuk mendedahkan para pelajar dengan ilmu Matematik dan Sains dengan lebih meluas kerana penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua subjek ini tidak terhenti setakat peringkat SPM sahaja. Ini kerana penggunaan Bahasa Inggeris memainkan peranan yang sangat penting dalam kedua-dua subjek ini sebab lanjutan ilmu yang diperluaskan di peringkat universiti semuanya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Kerajaan memandang isu ini sebagai serius kerana disamping ingin meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris, para pelajar juga boleh membuat persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi. 

    Akan tetapi, disebalik isu PPSMI ini yang mempunyai banyak kelebihan, ada juga kekurangannya. Hal ini dapat dilihat dalam peperiksaan yang berlangsung saban tahun tidak kira di peringkat sekolah rendah atau pun sekolah menengah. Prestasi yang ditunjukkan oleh para pelajar dilihat tidak memuaskan malah ada antara mereka yang dilihat tidak mampu untuk menggalas mata pelajaran kerana bahasa yang digunakan telah berubah. Hal ini mungkin berbeza dengan pelajar sekolah menengah kerana mereka sudah sedia maklum akan penggunaan Bahasa Inggeris, tetapi kepada pelajar sekolah rendah mungkin segelintir daripada mereka tidak mampu menguasai Matematik dan Sains dengan baik. Menurut kajian oleh satu memorandum, jelas menunjukkan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris. Malah kebanyakan pelajar yang berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka. Selain itu, isu PPSMI ini dikatakan memihak kepada keluarga di bandar. Menurut Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka. 


    Kesimpulannya, isu PPSMI ini yang pernah mencetuskan kemarahan masyarakat suatu ketika dahulu telah berjaya diselesaikan dengan baik. Bantahan daripada sesetengah cendiakawan, sasterawan dan budayawan yang telah menyatakan pendirian masing-masing telah berjaya menyelesaikan isu ini. Pada pandangan saya, jika dasar PPSMI ini diteruskan sejak dari dahulu mungkin para pelajar dapat mengadaptasi jenis pembelajaran menggunakan Bahasa Inggeris dengan baik. Sebenarnya dasar ini pernah digunapakai suatu ketika dahulu tetapi telah dimansuhkan. Akibat desakan beberapa faktor ia telah digunakan semula namun sudah terlalu lambat untuk mengubah persepsi masyarakat pada ketika ini. 


Tuesday, March 13, 2012

Makna Sebuah Universiti

     Universiti adalah sebuah institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan yang memberikan ijazah akademik dalam pelbagai subjek. Universiti juga adalah sebuah organisasi yang menyediakan kedua-dua pendidikan ijazah dan pendidikan pascasiswazah. Universiti perkataan berasal dari Latin universitas magistrorum et scholarium, yang secara kasarnya bermaksud "masyarakat guru dan ulama".Perkataan asal Latin "universiti" merujuk secara umum kepada "beberapa orang yang berkaitan ke dalam satu badan, masyarakat, syarikat, komuniti, persatuan, perbadanan, dll."

    Pada masa kini, kelayakan untuk memasuki sesebuah universiti sudah tidak terbatas seperti dahulu. Hampir semua bekas pelajar lepasan sekolah dikatakan mendapat tempat di dalam universiti. Jika dilihat senario ini suatu ketika dahulu, bagi pelajar yang memasuki universiti akan menjadi kebanggaan keluarga tidak kira sama ada di kampung atau pun di bandar kerana hanya pelajar yang terpilih sahaja layak. Bagaimana pula dengan senario ketika ini? Sebenarnya bagi pelajar yang tidak mendapat tempat di universiti tidak perlu mengeluh kerana dengan perkembangan teknologi yang pesat berkembang kini, semuanya boleh dicari dengan mudah. Tetapi lain pula perihalnya bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di dalam universiti. Ilmu yang diperoleh di dalam bidang yang dipilih merupakan langkah kita untuk mencorak destinasi kita pada suatu hari nanti.

    Sebagaimana tempoh kita belajar di alam persekolahan, begitu juga lah persamaannya ketika menuntut di universiti. Pengalaman, keperitan, kenangan indah dan segala macam perasaan akan kita lalui dalam alam pembelajaran di perbukitan ilmu ini. Suasananya mungkin tidak sama, begitu juga dengan memorinya tetapi pengalaman ini yang akan membuatkan kita menjadi matang, pengalaman ini yang akan mendewasakan kita dan pengalaman ini juga lah yang akan memandu kita untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa kelak. Pengalaman berada di dalam universiti tidak akan pernah sama dengan pengalaman kita di bangku sekolah dahulu kerana sistem pembelajaran di universiti adalah lebih santai berbanding dengan sistem di alam persekolahan yang mana semuanya sudah diatur. Ekoran itu pelajar akan lebih banyak terdedah dengan segala macam gelagat dan realiti kehidupan. Di universiti ini juga pelajar lebih digalakkan bersifat aktif untuk melontarkan segala macam pendapat dan idea demi memartabatkan maruah universiti. Tiada batasan untuk berfikir, tiada sempadan untuk berkongsi idea, tiada betul dan tiada salah.

    Sudah tentu dalam tempoh 3 hingga 4 tahun berada di dalam universiti adalah terlalu singkat untuk kita gali segala macam ilmu. Ya, masa yang kita ada terlalu singkat tetapi manfaatkanlah ia dengan perkara yang mendatangkan kebaikan bukan sahaja untuk diri kita tetapi untuk orang lain juga.Ini kerana masyarakat diluar memandang tinggi darjat seseorang yang memasuki universiti kerana pelajar universiti dianggap peneraju negara pada masa hadapan. Makna universiti itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya pelajar berjaya menghayati visi dan misi mereka di dalam alam perbukitan ilmu ini. Kejayaan pelajar itu tidak hanya bergantung dengan prestasi akademik yang ditunjukkan tetapi juga akan dihitung dengan sumbangannya dalam universiti. Segala penat lelah dalam tempoh pengajian juga akan lebih memberikan makna yang mendalam setelah kita diberikan segulung ijazah kelak. Kepuasannya hanya akan terasa bagi pelajar yang benar-benar mencurahkan segala baktinya kepada universiti.

Universitiku, Universiti Utara Malaysia :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...